Bismillah

"hanya hati yang terbuka dapat menerima ketulusan, hanya tangan yang terbaik dapat menerima kebaikan dan pahala yang terbaik dapat merasai kenikmatan"


Thursday, January 13

catatan kuliah: berhijrahlah dengan hati


Berilah Manfaat Kepada Orang Lain

Entri kali ini saya ingin berkongsi isi kuliah tafsir yang disampaikan oleh Dr. Danial Zainal Abidin yang bertempat di Kompleks Belia dan Sukan, P.Pinang pada ahad lepas.. Kuliah mingguan Dr Danial diadakan setiap ahad jam 3 - 5 petang. Beliau mengupas dan menyampaikan isi kuliah dengan merujuk kitab tafsir yang sahih dan banyak digunapakai sekarang iaitu Tafsir Ibn Katsir. Isi kuliahnya juga sangat menarik kerana sambil mengupas mengenai ayat al-Quran, beliau turut menghubungkannya dengan keadaan semasa dan realiti yang berlaku pada masa ini..

Seperti kata Dr, diri kita boleh dianalogikan sebagai rama-rama.. Yang mana ia berhijrah daripada dirinya yang berbentuk ulat, kemudian berada di dalam kepompong dan seterusnya menjadi rama-rama yang cantik.. Jadikanlah kita pun begitu. Seperti rama-rama yang aktif, yang memberi sumbangan kepada dunia ini walau sementara dan kecil sumbangannya..

Kita tukar hidup kita daripada hidup yang kekosongan dan biasa-biasa kepada seorang yang aktif, yang memberi sumbangan kepada dunia ini walau hidup cumalah sementara.. Yaa.. Jadilah seperti rama-rama itu.. Walaupun kita tidaklah dipandang hebat, sekurang2nya kita telah memberi sumbangan kepada orang lain.. Walau sedikit mana pun ia.

Surah al-Mulk

Dalam surah al-Mulk, ayat 2 Allah berfirman:

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.."

Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawa DIA menjadikan KEHIDUPAN dan juga KEMATIAN untuk menguji siapa diantara kita yang lebih baik amalannya.. Allah tidak menyebutkan 'siapa yang lebih banyak amalannya' tetapi 'siapa yang lebih baik amalannya'..


Jadi, perlu kita fikirkan, apakah itu amalan yang baik? Bagaimanakah hendak menjadi orang yang baik amalannya??

Jawapannya ada dua, iaitu amalan yang baik ialah amalan yang IKHLAS kerana Allah dan amalan yang berpandukan syariat, mengikut petunjuk Rasulullah yang sebenarnya.. Barangsiapa yang melepasi ujian Allah itu, baik amalannya, maka dialah calon ahli syurga.. Subhanallah..

Namun, adakah kita mengetahui apakah sikap2 ahli neraka? Perkara ini telh dinyatakan dalam surah al-Mulk ayat 10.

"Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".

Daripada ayat ini, ciri-ciri ahli neraka adalah mereka tidak mahu mendengar dan mereka tidak mahu memahami. Sikap ini juga bukan hanya terdapat pada orang-orang kafir sahaja.. Malahan terdapat segolongan mereka yang mengaku beragama dan berilmu juga bersikap sebegini. Mereka hanya mendengar kata-kata daripada ketua-ketua atau guru-guru mereka sahaja dan tidak mahu mendengar daripada orang lain. Mereka juga tidak mahu berfikir. Disebabkan sikap yang terlalu fanatik, mereka terima sahaja bulat-bulat seperti yang diperkatakan tanpa menyelidiki kebenarannya.. Semoga kita terhindar dan dijauhkan daripada bersikap seperti ini..

Surah al-Qalam

Surah ini mengandungi 52 ayat dan juga dikenali sebagai surah Nunn.

Ayat 1 hingga 4 surah ini:

[1] Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis, -

[2] Engkau (wahai Muhammad) - dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu - bukanlah seorang gila (sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan engkau adalah seorang yang bijaksana).

[3] Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam);

[4] Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Dalam ayat 1, Allah bersumpah dengan pena. Cuba fikirkan pula mengenai pena kita. Qalam kita. Adakah kita menggunakannya untuk kebaikan? Kita ada pelbagai kemudahan untuk menulis. Tetapi adakah benda yang kita tulis itu sesuatu yang baik? Atau ia lebih mendatangkan dosa? Cuba fikirkan kembali, wahai sahabat.. Marilah kita renungkan dan muhasabah diri semula.


Kebanyakan kita hanya menulis perkara yang sia-sia. Di Facebook contohnya. Menggunakan kemudahan ‘pena’ yang ada untuk mengutuk orang lain, mengumpat, dan lain-lain.. Salahkah andainya kita gunakan ia untuk saling mengingati? Menulis sesuatu yang bermanfaat lalu dikongsikan bersama orang lain? Pasti ia lebih baik daripada sekadar bersembang kosong.

Ulama terdahulu begitu terangsang dengan surah ini sehingga mereka mampu melahirkan karya-karya agung yang digunakan dan dirujuk sehingga ke hari ini. Walaupun mereka telah lama meninggal dunia, namun ilmu mereka tidak luput bersama. Ia terus berkembang dan dimanfaatkan. Sekiranya kita juga teransang dan mempunyai semangat seperti mereka, pasti kita juga akan menulis. Jika tidak banyak, sedikit pun sudah memadai.

Kita tidak perlu menjadi seperti Imam an-Nawawi untuk menulis perkara yang baik-baiki. Mulakanlah sedikit demi sedikit dahulu. InsyaAllah, pasti ALLAH akan mempermudahkan..

Berbalik kepada surah al-Qalam, ayat seterusnya menyatakan bahawa Nabi Muhammad bukanlah seorang yang gila sebaliknya baginda mempunyai akhlak yang amat mulia. Disebabkan perjuangan baginda yang hebat, Allah menjanjikan pahala yang besar kepada baginda Rasulullah SAW.

Dalam ayat 4, Allah memuji akhlak rasulullah SAW.

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Mengapa ALLAH tidak memuji Ibadat Rasulullah? Mengapa tidak memuji solat rasulullah dan lain-lain? Walaupun segalanya yang rasulullah lakukan itu baik?

Hal ini kerana, AKHLAK ITU ADALAH HASILNYA daripada semua amalan yang dilakukan. Oleh sebab itu, banyak ayat di dalam al-Quran memuji akhlak Rasulullah SAW yang sangat mulia. Akhlak Rasulullah adalah seperti al-Quran. Segala yang diperintahkan ALLAH dikerjakannya, dan segala yang dilarang pasti ditinggalkannya.. Hasil ibadah dan pengabdian baginda terbukti menerusi akhlaknya..

AKHLAKNYA MENJADI BUKTI keimanannya..

Benarlah akhlak itu dapat diumpamakan sebagai buah. Iaitu hasil terakhir yang terbit dari pohon akidah yang kukuh dan benar serta ibadat yang sahih..

Namun di Malaysia, banyak orang suka sangat berdebat. Namun meremehkan pembentukan peribadi yang mulia. Mereka menunjukkan seolah-olah mereka sangat berilmu dengan menghentam pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Dikeluarkannya pelbagai hujah yang sehabis mungkin bagi mengalahkan pihak yang lain. Sehingga mereka lupa akan tujuan perutusan Rasulullah yang utama. Iaitu akhlak yang mulia. Mereka lebih suka menghina dan mejatuhkan orang lain daripada menunjukkan contoh yang baik.. Beginikah sikap seseorang yang mengaku mengikuti Rasulullah dan para sahabat? Nilailah diri kita semula..

DALAM ISLAM, IBADAH ITU HASILNYA NAMPAK..

Apabila kita melihat tingkah laku seseorang, kita pasti akan tahu. Kita lihat akhlaknya, tahulah kita adakah dia benar-benar mengamalkan ilmunya atau sekadar omongan kosong belaka?

Cuba kita tanya pada hati kita, kenapa akhlak yang baik sangat penting? Adakah kita suka dengan orang yang tidak berakhlak? Apakah gunanya seseorang yang cantik bagaikan model andai dia suka menyakitkan hati orang lain? Apa gunanya belajar sampai dapat 10A1, tetapi tak tahu hormat orang lain? Dan apa gunanya jadi ‘orang besar’ tetapi suka menerima rasuah? Adakah kita suka dengan orang sebegitu?

Oleh itu, sempena tahun baru ini ayuhlah kita bersama-sama berhijrah dengan hati kita.. Agar segalanya dipermudahkan dan ikhlas kerana Allah.

Baiki niat, baiki akhlak..~

Sumber: http://farhamizah.blogspot.com/2011/01/berhijrahlah-dengan-hati.html

No comments:

Post a Comment